Sunday 31 July 2016

CEMBURU ITU CINTA- BAB 3

BAB 3




JAUH Nursyazwani termenung. Pandangannya tembus ke hadapan padang rumput yang terbentang hijau di matanya kini. Dari luaran nampak macam menikmati keindahan tersebut, hakikatnya otaknya sudah jauh melayang entah ke mana. Malah kerja sekolah yang sepatutnya dia buat sudah tergendala sejak beberapa minit yang lepas.
    Niatnya datang ke taman berhadapan dengan Pekan Baru Pitas tersebut untuk mengulang kaji dan buat nota Sejarah macam yang diminta oleh cikgu Joseph minggu lepas. Ajak Umairah datang sekali supaya tidaklah dia bosan sepanjang petang tersebut. Kalau dia buat di rumah, alamatnya boleh dia tertidur sepanjang hari cuti hujung minggu itu.
    Kalau ada Umairah dapat juga menghilangkan bosannya jika penat belajar nanti. Namun kelibat Umairah masih belum-belum muncul sejak dia duduk menanti di situ dari pukul dua petang. Sekarang sudah mahu dekat jam tiga. Mana pulalah dia ni.
    Tempat pertemuan mereka itu memang sengaja dia mahu di situ. Lagipun setiap petang, kelibat tiga orang jejaka kegilaan sekolahnya itu akan datang ke situ dan main bola sepak di padang yang menghadap sekolah. Lepas Asar, dalam jam empat begitu akan muncullah mereka nanti. Namun dia sengaja datang awal ke situ supaya dapat siapkan kerja rumah sebelum dia akan menumpuhkan perhatian seratus-peratus ke arah padang bola sepak itu nanti.
    “Assalamualaikum!” laung Umairah seraya mematikan enjin motornya. Sengihannya panjang sampai dia mendekati Nursyazwani. Namun Nursyazwani mencebik. Janji jam dua, datang jam tiga. Apa kes?
    “Dosa tau kalau enda sambut?” usik Umariah sebaik melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan Nursyazwani.
    “Walaikumsalam.” Geram saja bunyi Nursyazwani menyambut salam tersebut. Umairah terus ketawa-ketawa macam orang sewel.
    “Kau kenapa lambat?” terus soalan ditanya.
    “Aku ada kerja sikit di rumah tadi, bha. Sorrylah,” beritahu Umairah. Sengihannya masih panjang macam baru sampai tadi. Nursyazwani mencebik bibirnya lagi. Alasan! Yang peliknya, walaupun tahu itu cuma alasan Umairah, Nursyazwani tidak pernah mahu tanya lebih. Apa yang penting baginya, rakannya itu datang juga walau lambat.
    “Kau dah siap buat nota Sejarah?” Umairah ubah tajuk perbualan. Sengaja mahu mematikan sakit hati Nursyazwani padanya tadi. Nursyazwani angkat buku nota dan menunjukkan nota itu di hadapan Umairah. Berkerut dahi Umairah jadinya.
    “Baru pengenalan kau buat? Biar betul?” macam tidak percaya pula Umairah dengan nota yang dilihatnya itu. Nursyazwani meletakkan semula notanya ke meja. Dia jungkit bahu sekali.
    “Aku berangan tadi sebelum kau sampai. Sebab tu tak siap-siap.” Geleng kepala Umairah mendengar jawapan Nursyazwani. Boleh tahan serius juga kawan aku ni kalau hal berangan.
    “Kau berangan apa?” dilayan juga cerita Nursyazwani meski dis sudah mengeluarkan buku teks Sejarah dan nota panjangnya dari dalam beg sekolah. Disusun kemas-kemas atas meja sebelum memandang ke arah Nursyazwani kembali.
    “Kau rasa...” belum sempat Nursyazwani menghabiskan ayatnya, Umairah terus tepuk tangan sekali di hadapan gadis itu. Membulat mata Nursyazwani dibuatnya.
    “Kalau kau nak cerita pasal si Nursafwan kau tu, aku rasa aku tahu apa kau nak cakap.” Nursyazwani memicingkan pandangannya ke arah gadis tersebut.
    “Apa-apa pun, kalau kau tak putus asa, aku pasti suatu hari nanti si Nursafwan tu akan perasan kehadiran kau di sisinya selama ni. So, never give up!” Umairah memberi kata semangat, namun lain pula tindak balas Nursyazwani. Gadis itu terus tunduk ke bawah macam orang kematian semangat saja lagaknya. Berkerut dahi Umairah melihat.
    “Dari tingkatan satu aku suka dia. Masuk aktiviti mana yang dia ada, cuma satu saja aku enda boleh ikut.” Ayatnya mati di situ. Umairah sabar menanti ayat seterusnya.
    “Kadet Polis. Kau tau kan aku jenis yang macam mana?”
    “Gadis Melayu Terakhir!” serentak mereka menyebut gelaran yang begitu sinonim dengan Nursyazwani itu. Kemudian mereka ketawa sama-sama.
    “Alah, tak semestinya kau suka dia semua aktiviti dia kau mau ikut juga. Normallah persatuan lain-lain. Walau jauh tapi dekat di hati.” Pujuk Umairah, cuba menceriakan kembali hati kawan baiknya itu. Nursyazwani angguk-angguk setuju. Hanya Umairah yang memahami perasaannya itu selama ini. Pahit manisnya dia dalam menyintai Nursafwan dalam diam, semua dalam pengetahuan Umairah. Jadi, dia tidak pernah kekok barang sekali dalam meluahkan perasaannya terhadap Nursafwan di hadapan Umairah.
    “Anyway, cinta-cinta juga. Sekarang ni kita kena siapkan dulu nota Sejarah ni. Aku belum start lagi tau. Kau nda apalah, sudah ada pengenalan.” Nursyazwani pantas mencebik.
    “Perli nampak?” Umairah tertawa kecil.

    TIBA-TIBA Nursyazwani meletakkan pen ke atas meja. Perut terus disapu-sapu tanda dia sudah kelaparan duduk begitu lama di situ sejak tadi. Padahal baru dua jam lebih. Umairah dilihatnya begitu tekun sekali cuba menyiapkan nota Sejarah tersebut, sampai tidak perasan Nursyazwani sudah berhenti menulis.
    “Kau ada bawa makanan ka, Umai?” soal Nursyazwani. Lantas gerakan jari-jemari Umairah menulis terhenti. Dia memandang ke hadapan kemudian menggeleng kepalanya kecil.
    “Kau belikan aku makanan, boleh?” pinta Nursyazwani dengan muka kesian. Namun Umairah geleng kepala laju.
    “Enda mau!” dia menyambung semula tulisannya. Terus muncung mulut Nursyazwani saat ini.
    “Mana duit kau, aku jak beli!” geram Nursyazwani bersuara. Dia sudah berdiri sambil meminta duit dari Umairah. Rakannya itu kemudian mengeluarkan dua keping not satu ringgit dari dalam kocek seluar track-suitnya dan menyerahkannya pada Nursyazwani.
    “Mau apa?” soal Nursyazwani kemudian.
    “100 plus. Selebihnya kau belilah makanan apa-apa, yang penting boleh makan. Ok?” beritahu Umairah sambil tersengih-sengih. Nursyazwani mencebik bibirnya lagi sebelum berlalu.
Dia hanya berjalan kaki ke Pekan yang berada tidak jauh dari taman tempat mereka melepak itu. Dengan payung warna merah jambu, kelihatan dia sudah macam Siti Payung pula. Mujur cuaca petang itu kurang panas, jadi haba yang ada pun tidak terasa benar menyengat kulitnya.
    Tiba di kedai serbaneka yang menjual pelbagai jenis makanan ringan, Nursyazwani terus masuk ke dalam. Tidak lupa menyapa pada penjaga kedai yang sememangnya sudah cukup dikenalinya.
    “Aik, sorang jak? Selalunya berdua?” sua Kenny, gadis bangsa Dusun pemilik kedai itu bertanya ramah. Nursyazwani menggeleng seraya tersenyum kecil.
    “Dia jadi bos hari ni,” Nursyazwani sempat berseloroh. Ketawa kecil Kenny mendengar. Nursyazwani kemudian menuju ke arah peti sejuk yang meletakkan minuman bergas di dalamnya. Membuka pintu itu dan mengambil pesanan Umairah dan air yang dia mahu. Pintu itu di tutup semula dan dia menuju ke arah makanan ringan pula. Keropok Ma-Mi berharga sepuluh sen itu di ambilnya cukup-cukup untuk satu ringgit setengah. Kemudian dia menuju ke kaunter pembayaran. Setelah membayar semua beliannya itu, dia meminta diri.
    Baru saja dia mahu keluar dari kedai tersebut, tiba-tiba dia terlanggar seseorang. Plastik hitam yang berisi dengan makanan yang dibelinya tadi sampai terjatuh ke lantai. Kelibat yang dilanggarnya tadi menunduk dan mengutip plastiknya, lalu di serahkan pada Nursyazwani semula.
    Melihat kelibat yang sedang berdiri dihadapannya itu saat ini membuatkan Nursyazwani sudah macam patung Cendana lagaknya. Tidak mampu berkata-kata saat matanya tepat memandang mata Nursafwan. Nursafwan pula yang jadi bingung sendiri.
    “Ok ka?” soal lelaki itu. Buat pertama kalinya, pemilik suara tersebut bercakap terus dengannya. Teragak-agak Nursyazwani mengangguk. Lalu diambil plastiknya tadi dan terus berlalu tanpa terfikir mahu minta maaf langsung. Sesungguhnya Nursyazwani sudah malu sendiri. Merah padam mukanya kerana dapat berdiri secara berhadapan dengan Nursafwan hari ini tanpa Umairah di sisi. Mungkin kalau Umairah ada tadi, kurang juga sikit malunya.
    Nursafwan diam saja melihat kelibat gadis itu sudah menjauh. Dia geleng kepala sendiri. Boleh tahan pemalu juga dia ni rupanya. Senyuman kecil kini menghiasi wajah kacak tersebut.
    “Woi!” panggil Adli. Pantas kepala Nursafwan beralih pada kelibat Adli yang sudah berada dalam kedai serbaneka tersebut.
    “Kau pergi mana tadi? Tiba-tiba menghilang.” Rungut Adli kemudian. Nursafwan tersengih-sengih macam kerang busuk. Lalu dia masuk ke dalam kedai itu dan melihat-lihat mahu beli apa. Kemudian bahunya pula di tepuk Zafran yang berdiri di sisinya.
    “Kau, kalau senyum macam tu lagi dengan aku-aku sekali jatuh cinta tau.” Usik Zafran. Bulat serta-merta mata lelaki itu. Adli sudah ketawa terbahak-bahak. Sementara Kenny yang tidak sengaja mendengar perbualan mereka, geleng kepala. Budak-budak ni, dari dulu selalu buat aku senyum seorang diri macam orang gila.

BERSAMBUNG...

*menarik? jangan lupa komen. SATU pun jadilah! HEHEHE. 


*Klik ini juga jika ada kesempatan, my first manuskrip di Ilham Karangkraf---> JADI BODYGUARD SAYA, BOLEH? (AKU SUDI)

No comments: