Sunday 31 July 2016

CEMBURU ITU CINTA - BAB 2

BAB 2



HARI kedua persekolahan minggu pertama berjalan seperti biasa. Cikgu Linda diberi tanggungjawab sebagai guru kelas tingkatan Lima Dahlia. Gadis bertudung litup tapi moden itu sentiasa jadi bualan cikgu-cikgu lelaki sekolah ini. Almaklumlah, manis orangnya.
    “Oleh sebab cikgu adalah guru kelas kamu semua, jadi kalau ada apa-apa masalah berkaitan pelajaran nanti jangan malu-malu jumpa cikgu. Insya-ALLAH kalau cikgu mampu, cikgu akan tolong.” Sua cikgu Linda sebaik sesi berkenalan dengan semua pelajar dalam kelas itu berakhir. Semua mengangguk-angguk faham walau tidak sekata.
    Satu-persatu wajah bakal-bakal menduduki SPM tahun ini dipandangnya. Mengikut laporan yang dia terima dari guru kelas tingkatan empat mereka tahun lepas, serba sedikit butiran diri mereka kini dalam pengetahuannya walau mungkin bukan keseluruhan keperibadian pelajar-pelajar yang sedang duduk penuh disiplin dihadapannya itu diketahuinya.
    “Baiklah, kalau tak ada apa-apa lagi cikgu keluar dulu.” Tambah cikgu itu lagi seraya berdiri.
    “Bangun~” Faiz, ketua kelas baru kelas itu yang baru saja di lantik hari ini menjalankan tugas seadanya. Semua pelajar dalam kelas itu berdiri malas.
    “Terima kasih, cikgu~” selepas ucapan itu keluar dari mulut Faiz, serentak yang lain mengulang kembali. Bergema sebentar kelas Lima Dahlia kemudian sunyi sepi sambil melihat langkah cikgu Linda keluar dari kelas tersebut.
Sebaik saja kelibat cikgu Linda sudah menghilang, semua melepaskan nafas berat masing-masing.
    “Aduh... Banyak-banyak lelaki dalam kelas ni, kenapalah si Faiz tu juga yang kena pilih.” Rungut Vanessa lantang. Serta-merta raut wajah ketua kelas itu berubah. Kareena mengangguk-angguk setuju, sementara Marsya hanya tersenyum sinis.
    “Woi! Perempuan!” meninggi suara Faiz ke arah Vanessa namun gadis itu hanya memandang macam tidak buat salah apa-apa langsung. Yang lain dalam kelas itu sudah memandang dengan perasaan tidak selesa. Apa kes lah pula ni. Tadi elok saja proses pemilihan itu berlangsung. Tak ada pula Vanessa nak membantah. Alih-alih sekarang dia pula yang tidak puas hati.
    “Kalau kau hebat sangat, kenapa bukan kau saja yang jadi ketua kelas?!” marah Faiz, Vanessa hanya mencebik. Kelihatan Hadi dan Jali sudah menambah bara ketua kelas tersebut. Nursyazwani merangkap penolong ketua kelas itu semakin risau melihat ketegangan kelas itu saat ini. Kalau di biarkan, boleh kena amaran nanti kalau ada guru-guru lain yang mendengar pergaduhan mulut tersebut. Lantas dia berdiri dari tempat duduknya. Umairah pula yang tersentak dengan tindakan rakannya itu tiba-tiba.
    “Cikgu Joseph dah datang!” jerit Nursyazwani membantutkan serta-merta keadaan tegang tadi. Faiz yang berdiri tadi cepat-cepat duduk semula. Marsya and the Gang kembali ke kedudukan asal mereka, begitu juga dengan Hadi dan Jali.
    Macam tadi, Faiz menjalankan tugasnya. Usai salam di beri, cikgu Joseph memandang satu-persatu pelajar kelas Lima Dahlia. Wajah serius cikgu Joseph membuatkan semua membatukan diri di tempat masing-masing. Cikgu Joseph kemudian memicingkan pandangannya ke arah Nursyazwani yang kelihatan takut-takut melihat ke arahnya sejak masuk tadi.
    “Kamu!” terkejut bukan kepalang lagi Nursyazwani apabila jari telunjuk cikgu lelaki itu tepat ke arahnya. Nursyazwani cuba bertanya hanya dengan meletakkan tapak tangan ke dadanya, siap telan liur lagi.
    “Yes! Kamu!” jerit cikgu Joseph lagi.
    “Siapa nama?!” amboi, cikgu ni pun satu. Nak tanya nama pelajar dia pun menjerit macamlah Nursyazwani itu jauh berbatu-batu darinya. Umairah menahan senyum lucu.
    “Nursyazwani Abdul Jabbar, cikgu.” Perlahan Nursyazwani menjawab. Mengangguk sekali cikgu Joseph sesudah mendapat tahu nama pelajar tersebut. Dengan gerak perlahan Nursyazwani cuba duduk semula.
    “Sebelah kamu siapa nama?!” Nursyazwani berdiri tegak semula. Terkejut bukan kepalang. Umairah menarik tangan Nursyazwani untuk duduk saja sementara dia sudah berdiri mahu menjawab soalan dari cikgu Sejarah tersebut. Situasi sesi berkenalan dengan cikgu Joseph berlangsung dengan nada cikgu itu macam marah saja bunyinya dengan bertanya setiap satu nama pelajar dalam kelas Lima Dahlia.
    Kemudian barulah cikgu Joseph mengambil tempat duduknya. Muka surat bab pertama buku teks Sejarah diselaknya. Sekali imbas bab itu, dia kembali menghadap semua pelajarnya.
    “Siapa ada masalah dengan subjek Sejarah dalam kelas ni?” sua cikgu Joseph tiba-tiba. Ada yang berpandangan antara satu-sama lain dengan soalan yang baru muncul itu. Perlahan-lahan beberapa pelajar dalam kelas itu mengangkat tangan kanan mereka termasuk Nursyazwani sekali. Apabila melihat Umairah tidak angkat tangan sekali, dipukul bahu rakannya itu supaya angkat tangan juga.
    “Aku selalu dapat C dalam Sejarah tau,” tekan Umairah dengan nada berbisik. Nursyazwani mencebik bibirnya. Dapat C saja pun dah mengaku pandai pula dia. Aku yang selalu dapat B ni pun angkat tangan juga.
Cikgu Joseph mengerutkan dahinya melihat lebih dari separuh kelas itu juga yang lemah dengan subjek yang bakal diajarnya nanti. Dia menggeleng kepala kemudian.
    “Fine. Nanti cikgu fikirkan cara macam mana nak buat kamu semua boleh dapat A dalam subjek ni nanti.” Beritahu cikgu Joseph membuatkan pelajar yang angkat tangan tadi sudah perlahan-lahan menurunkan tangan mereka. Kerutan di dahi Nursyazwani menunjukkan dia rasa pelik dengan sikap cikgu itu. Boleh percaya ke cikgu ni, macam pelik saja.
    “Anyway, sila buka buku teks masing-masing. Baca bab 1 dan buat nota ringkas.” Sekali lagi pelajar kelas Lima Dahlia itu berpandangan.

*****

    “MACAM pelik saja cikgu Joseph tu aku tengok. Bolehkah dia buat kita dapat A subjek tu nanti?” Omel Umairah sambil menajamkan pandangannya ke hadapan. Nursyazwani pula hanya angguk-angguk kecil.
“Dahlah tanya nama kita satu-satu menjerit-jerit macam gangster bagai. Risau pula aku tengok cikgu tu. Macam ada problem jak.” Tambah Umairah lagi. Masih belum puas lagi komen pasal sikap cikgu Joseph tadi. Dia pula yang naik risau dengan cikgu itu. Dahlah tahun ni kena hadap SPM, cikgu yang bertanggungjawab untuk bimbing mereka dapat A dalam Sejarah itu pula perangai entah apa-apa.
Sedang dia leka dengan fikirannya sendiri, bahunya dipukul kuat tiba-tiba oleh Nursyazwani. Terkejut bukan kepalang Umairah dibuatnya. Dahinya segera berkerut memandang wajah Nursyazwani kini. Muncung mulut rakannya itu ke sebelahnya membuatkan Umairah berpaling ke arah tersebut. Patutlah, nampak buah hati rupanya.
    Tiga orang jejaka kegilaan sekolah itu kini memasuki kantin tersebut. Namun sudah ada mata yang mahu terjojol keluar dari tempat asalnya. Malah pandangan mata mereka terus mengekori setiap gerak-geri tiga orang jejaka tersebut hingga ke kaunter makanan.
    Bukan main hot lagi sampai ada juga yang mengekori mereka hingga ke situ. Geleng kepala Umairah jadinya. Dia berpaling semula ke arah Nursyazwani. Rakannya itu dua kali lima sama saja dengan pelajar perempuan yang berada di situ. Tiap kali ternampak Nursafwan di hadapan mata, terus jadi macam orang angau. Pelik-pelik.
    Tapi nak buat macam mana jugakan, dahpun namanya minat, suka plus cintanya dari tingkatan satu lagi, sudah semestinya Nursyazwani akan bersikap begitu. Padahal tidak pernah pun dia lihat si Nursafwan itu bermain mata dengan rakannya itu.
    Kenangan paling manispun setakat tempoh dari tingkatan satu sampailah hari ini adalah mereka satu rumah sukan. Itupun sebab Nursyazwani yang merayu-rayu pada cikgu-cikgu rumah sukan di mana jejaka idamannya itu berada agar menerimanya di situ. Kalau tidak, tidaknya mereka selalu ‘berjodoh’ begitu. Belum tambah kelab dan persatuan lagi. Di mana ada Nursafwan, di situ Nursyazwani menyibuk. Erm... Adakah pelajar perempuan lain sehebat cinta Nursyazwani terhadap Nursafwan begitu? Rasanya tak ada kot.
    “Tepi-tepi!” satu suara muncul membuatkan khayalan kisah cinta Nursyazwani terus berhamburan. Kini di hadapan matanya, Marsya and the Gang sudah ambil posisi. Marsya terus berdiri di samping jejaka idaman Nursyazwani. Lantas Umairah menjeling sekilas ke arah rakannya itu. Sudah berubah air muka Nursyazwani saat ini. Melihat kemesraan antara Marsya dan Nursafwan jelas di pandangan matanya. Lalu satu keluhan berat terhembus dari mulutnya. Umairah sudah agak akan begitulah keadaan Nursyazwani setiap kali gadis perasan paling hot itu mendampingi Nursafwan. Kesiannya kawan aku sorang ni. Dan... Kesimpulannya, ada dua orang pelajar perempuan dalam sekolah ini begitu setia dalam merebut cinta Nursafwan meski pendekatan mereka berbeza. Seorang agresif dan seorang pula pasif.
    “Kau rasa aku ada peluang ka, Umai?” satu soalan dari gadis di sebelahnya itu membuatkan Umairah terkedu lidah serta-merta. Entah, dia sendiri tiada jawapannya. Sekali lagi pasangan hot di hadapan mata mereka itu menjadi perhatian mereka berdua.

BERSAMBUNG...

*menarik? jangan lupa komen. SATU pun jadilah! HEHEHE. 


*Klik ini juga jika ada kesempatan, my first manuskrip di Ilham Karangkraf---> JADI BODYGUARD SAYA, BOLEH?

No comments: