Sunday 21 August 2016

CEMBURU ITU CINTA!- BAB 4

BAB 4





MUKA kosong Nursyazwani yang baru muncul dari Pekan tadi membuatkan Umairah jadi pelik. Diam seolah-olah sudah kehilangan lidahnya. Selalunya gadis itu becok sikit mulutnya walaupun bukan kategori orang yang kuat bercakap.
   “Kau ni kenapa sudah?” soal Umairah mahu tahu. Macam orang palui, Nursyazwani memandang rakannya itu. Seraya menyerahkan hasil beliannya tadi kepada Umairah. Perlahan gerakan Umairah menyambut plastik berwarna hitam pekak itu. Matanya masih melekat pada wajah kosong Nursyazwani.
   Di belakang tempat duduk Nursyazwani kini, kelihatan tiga orang jejaka kegilaan sekolah mereka itu menuju ke arah mereka. Dah kenapa pula ni, padang bola kan depan tu saja. Namun melihat wajah Nursyazwani saat ini, membuatkan Umairah mula merangka tekaan sendiri.
   “Pssttt... tu~” bisik Umairah pada Nursyazwani. Nursyazwani memalingkan kepalanya ke belakang. Membulat matanya serta-merta sebaik melihat kelibat jejaka idamannya itu menuju ke arah mereka kini. Dah kenapa pula ni, dia nak marah aku ke pasal hal aku terlanggar dia tadi. Aduh, masak aku macam ni. Wajah resahnya membuatkan Umairah kebingungan. Apa keslah mereka ni. Tadi masa nak pergi Pekan, elok saja aku tengok Nursyazwani ni.
   “Assalamualaikum,” sapa Adli mesra. Salamnya itu disambut perlahan oleh dua orang gadis yang sudah tidak senang duduk di meja taman tersebut.
   “Nah,” satu keropok Ma-Mi yang dibeli Nursyazwani tadi terus diletakkan di atas meja oleh Nursafwan bersama senyuman manisnya. Umairah hanya angguk-angguk kepala. Dia sendiri sudah kehilangan kata dengan kehadiran mereka bertiga.
   “Syaz gerak cepat tadi sampai enda sedar keropok ni tertinggal.” Terang Nursafwan. Kemudian mereka meminta diri dari situ. Kaku keduanya apabila buat pertama kalinya mereka dilayan begitu baik oleh mereka bertiga. Mereka berpandangan macam tidak percaya kini.
   “Dia datang sini sebab nak hantar ni saja ka, Syaz? Hebat!” Umairah pula yang teruja sakan. Lain yang ada perasaan lain pula yang excited. Nursyazwani jungkit bahu tidak pasti. Tidak semena-mena dia seperti baru tersedar dari sesuatu.
   “Umai, kau pernah beritahu dia ka nama panggilan aku, Syaz?” sua Nursyazwani. Umairah terdiam, mula memikirkan semula pertanyaan rakannya itu.
   “Atau... Dia dengar nama kau dari orang lain kot?” balas Umairah tidak pasti. Nursyazwani angguk-angguk kecil. Mungkin betul juga. Aku saja yang perasan.
   Kelibat tiga orang jejaka itu terus dipandang yang kini sudah berada di padang bola sepak. Pasti sekejap lagi mereka akan main bola seperti biasa. Mengingat perkara tadi membuatkan Nursyazwani tersenyum sampai ke telinga. Walaupun tidak pasti dari mana Nursafwan tahu nama panggilannya itu, yang penting dia bahagia kini. Sekurang-kurangnya Nursafwan memang sedar kehadirannya itu selama ini. Kali ini Nursyazwani tidak mampu menyembunyikan lagi kegembiraannya hingga terkeluar juga bunyi tawanya. Umairah yang melihat pula jadi pelik. Sewel dah kawan aku sorang ni. Geleng kepala Umairah melihat ulah pelik kawan baiknya itu.

*****

USAI makan malam bersama keluarga, Nursyazwani terus membasuh pinggan mangkuk yang digunakan masa makan malam tadi. Ibunya, mak Rosiah membersihkan lantai meja makan yang ada sisa makanan yang tertinggal. Pak Jabbar pula sudah masuk ke dalam ruang tamu dan kini menanti anak bongsu perempuannya, Nurasriyani membuat kopi panas untuknya sebagai pencuci mulut. Rutin harian buat keluarga itu setiap hari.
   “Lepas basuh nanti, kau potong buah betik tu bawa masuk.” Pinta mak Rosiah. Nursyazwani hanya mengiyakan. Tidak meningkah selayaknya dia anak yang sentiasa mendengar cakap kedua orang tuanya. Kemudian wanita tua itu masuk ke dalam, dan meninggalkan Nursyazwani menyiapkan kerjanya di situ.
   “Kak, mau sudu.” Minta Nurasriyani sopan. Nursyazwani kemudian mencuci bersih sudu yangg dipinta adiknya tadi dan menyerahkannya. Dia hanya memandang sekilas ke arah adik bongsunya itu yang sedang membuat kopi panas. Cermat dan cekap. Macam slogan Polis Di Raja Malaysia saja bunyinya.
   “Macam mana dengan Kadet polis? Belum ada perjumpaan?” sua Nursyazwani, sengaja berbasah-basi padahal niatnya lain mahu tahu kisah Nursafwan yang sememangnya presiden Persatuan tersebut. Nurasriyani menoleh sekilas ke arah kakaknya kemudian dia kembali menumpukan perhatian pada cawan yang sudah dia masukkan sedikit kopi dan gula secukup rasa. Kemudian dicapainya termos air panas yang berada di hadapannya.
   “Kan baru minggu pertama persekolahan, kak. Mestilah belum lagi. Masih awal. Sekarang ni cikgu-cikgu masih tumpukan pada aktiviti yang wajib dulu, contohnya pendaftaran pelajar.” Bukan main skema lagi jawapan adiknya itu. Nursyazwani angguk-angguk kepala.
   “Ada pemilihan presiden baharu la kan nanti?” soalan kedua membuatkan Nurasriyani berpaling semula ke arah kakaknya.
   “Ish! Mana ada. Kan abang Nur masih ada, dia jaklah yang terus jadi presiden Kadet tu. Kakak ni pun satu,” balas Nurasriyani geram, dia terus masuk ke dalam ruang tamu sambil membawa secawan kopi yang di buatnya tadi.
   Nursyazwani mencebik bibir kini. Eleh, abang konon. Aku yang kenal dia dari tingkatan satu ni pun tak pernah panggil dia abang. Dia yang baru saja masuk tingkatan tiga sudah boleh berabang-abang pula. Ceh, tak adil langsung. Cemburu pula dia dengan hakikat itu. Nak panggil abang kenapa pula, umur pun sebaya ada hati nak panggil Nursafwan tu abang. Kalau dah jadi laki tadi, lain ceritalah. Nursyazwani sudah ketawa-ketawa sendiri.
   “Mak! Kakak Syaz ketawa sendiri-sendiri!” kedengaran jeritan di muka pintu dapur. Laju kepala Nursyazwani menoleh ke situ. Adiknya sedang berdiri di muka pintu tersebut sambil jelir lidah dengannya sebelum cepat-cepat masuk ke dalam. Kurang asam punya adik, dia nampak aku ketawa seorang-seorang rupanya tadi. Huh! Buat malu kaum Hawa saja aku ni. Nasib baik adik aku yang nampak, kalau orang lain percuma dapat gelaran orang kurang S.I.U.M.A.N.

*****

MASA Pendidikan Jasmina, semua pelajar Lima Dahlia diminta masuk ke Pusat Sumber. Ini kerana guru yang sepatutnya mengajar mereka hari ini ada tugas yang lain yang perlu diutamakan. Jadi terpaksalah mereka merajinkan diri masuk ke situ.
   Sudahpun namanya kelas ketiga kurang pandai dan malas, jadi rata-rata mereka memang bukan pengunjung tetap bilik itu meski ada masa yang terluang sejak dahulu lagi. Malas menghadap buku rujukan yang bertimbun di situ. Namun ada juga yang begitu teruja sekali bila masuk ke Pusat Sumber. Novel beberapa penulis hebat yang ada diletakkan dalam bilik tersebut membuatkan mereka terleka buat sementara waktu. Pastinya novel yang berkisarkan tentang cinta yang menjadi pilihan.
   Nursyazwani dan Umairah ambil tempat duduk paling belakang sekali dalam bilik itu. Tidak suka keadaan tempat duduk yang sesak, namun yang paling penting senang mereka nak bergosip.
   Buku rujukan Matematik diselak pada muka surat bab dua subjek tersebut. Nursyazwani memang lemah subjek Matematik. Hal kira-mengira ni memang bukan kepakarannya. Kalau tanya Umairah pun, mungkin sama saja kepala otak mereka itu. Jadi, mahu tidak mahu, terpaksalah juga dia belajar sendiri untuk mendapatkan keputusan yang baik dalam peperiksaan akhir nanti.
   Umairah sibuk belek-belek buku rujukan Sains kini. Kelihatan mulutnya bergumam sedikit membaca nota ringkas yang tertulis di buku tersebut. Macam baca mantera pun ada kalau dilihat sekali imbas.
   Nursyazwani sambung semula memandang tiap formula Matematik yang ada di buku tersebut. Sudah tidak mempedulikan rakan sekelasnya yang lain dengan aktiviti masing-masing.
   Tidak sampai lima minit bilik Pusat Sumber itu senyap, tiba-tiba ada suara sumbang yang muncul dari luar. Pantas kepala Nursyazwani terangkat semula dan memandang ke muka pintu masuk Pusat Sumber itu. Pertama sekali orang yang dia nampak masuk adalah ketua kelas Lima Cempaka, iaitu kelas Sains di sekolah tersebut. Serta-merta mata Nursyazwani yang tadinya kecil terus terbuka luas. Apatah lagi suasana dalam bilik itu pula sudah bertukar macam bunyi langau.
   Kelas Nursafwan masuk sini juga? Oh My God! Bukan main teruja lagi perasaan Nursyazwani kini. Senyumannya sudah lebar sampai telinga. Tidak lama lepas itu, kelihatan Nursafwan diikuti dengan Adli dan Zafran muncul di muka pintu. Jejaka idaman Nursyazwani itu kemudiannya melilaukan pandangannya ke arah sekitar bilik tersebut. Walau bagaimanapun, kelibat Nursyazwani yang ada di situ sedang memandangnya pun langsung tidak diendahkan. Dia terus berlalu ke arah rak buku rujukan bahasa Melayu.
   Mengendur terus senyuman lebar Nursyazwani tadi. Siapalah aku ni kan kalau dibandingkan dengan Marsya tu. Bukan main manis lagi senyumannya tadi masa terpandangkan Marsya and the Gang nya sedang duduk di sofa yang disediakan di sebelah pintu masuk Pusat Sumber tersebut. Walaupun tidaklah lelaki itu menuju ke arah mereka, namun Nursyazwani tetap cemburu.
   Dipandang buku rujukan Matematik yang ada di hadapan itu semula. Sudah hilang mood mahu sambung belajar balik. Diselak beberapa helai buku rujukan itu hingga membuatkan Umairah mengangkat pandangannya dari buku rujukan Sainsnya tadi. Berkerut dahi rakannya itu melihat muka cemberut Nursyazwani kini.
   “Kenapa?” bisik Umairah, sedaya upaya tidak mahu suaranya itu menjadi perhatian oleh pelajar-pelajar yang ada di situ. Nursyazwani geleng kepala tanpa membalas pandangannya ke arah Umairah. Makin pelik Umairah jadinya.
   Lantas dia melilaukan pula pandangannya ke arah sekitar bilik tersebut, sudah ada beberapa wajah yang bukan dari kelas Lima Dahlia yang ada di situ. Barulah dia kini mengerti, mengapa Nursyazwani sudah buat muka begitu. Kelas Lima Cempaka rupanya yang masuk tadi. Pastinya sikap tidak endah Nursafwan padanya yang membuatkan Nursyazwani hilang mood mahu belajar kini. Umairah tahan senyum.
   “Kau~ jangan sebab benda ni dapat G Matematik nanti,” ugut Umairah. Serta-merta mata Nursyazwani membulat besar. Hal-hal G ni memang bukan kegemaran telinganya mendengar. Lebih-lebih lagi sekarang ni tahun akhir mereka bergelar pelajar di situ. Kalau ada rezeki masuk tingkatan enam pun, mungkin di sekolah yang sama. Mungkinlah.
   “Mulut~” tekan Nursyazwani geram. Umairah tertawa tanpa bunyi, mengejek sikap rakannya itu yang begitu cepat ambil hati kalau melibatkan Nursafwan. Buku rujukan Matematik tadi dipandang semula. Niatnya mahu sambung belajar kembali. Pasal Nursafwan sudah cuba dilupakan buat sementara waktu.
   Tidak semena-mena kerusi yang berada dalam jarak dua orang di tarik seseorang. Pantas kepala Nursyazwani dan Umairah berpaling ke situ. Zafran sudah ambil tempat di situ, di ikuti oleh Nursafwan di sebelahnya, sementara Adli duduk menghadap Zafran.
   Telan liur Nursyazwani dan Umairah kini. Duduk satu meja dalam Pusat Sumber ni? Bukan bermimpi kan? Mereka berpandangan tidak percaya.
   Sudah ada suara sumbang yang kedengaran di bilik Pusat Sumber itu. Pasti tidak puas hati kerana tiga orang jejaka kegilaan pelajar-pelajar perempuan dalam sekolah itu duduk dengan mereka.
   “Boleh kan kami duduk sini?” tanya Zafran bersama senyuman manisnya. Umairah dan Nursyazwani angguk-angguk laju. Ketara sangat mereka sudah kematian kata mahu buka mulut. Ketiga jejaka itu menahan senyum lucu. Mereka kembali menumpukan semula pada buku rujukan yang diambil dari rak tadi.
   Nursyazwani dan Umairah sudah tidak keruan duduk di kerusi mereka masing-masing. Sesekali pandangan mereka teralih pada kelibat tiga orang tersebut, sampai buku rujukan di hadapan masing-masing sudah tidak terusik. Namun, pandangan Nursyazwani tetap pada yang satu. Cinta dalam diamnya itu begitu tekun sekali menelaah buku di hadapannya. Entah, belajar subjek apa, yang pastinya pandangan Nursafwan tidak berganjak langsung dari buku tersebut. Hanya Adli dan Zafran saja yang kelihatan sedang berbincang sesuatu. Itupun Nursyazwani tidak pasti apa. Tumpuannya sudah mati pada wajah kacak dan comel Nursafwan kini.
   Kemunculan wajah Marsya tiba-tiba di sebelah lelaki tersebut membuatkan pandangan Nursyazwani berubah lagi. Dia lagi! Ish! Tak habis-habis nak potong jalan aku tau!
   “Belajar apa, Nur?” soal Marsya perlahan dan mesra seraya mengambil tempat duduk di sebelah lelaki itu. Vanessa pula di sebelah Adli dan Kareena duduk di sebelah kiri Zafran. Sudah macam dengan pasangan kekasih masing-masing saja yang sedang belajar sama-sama.
   Nursyazwani mencebik ke arah lain. Buku rujukan Matematik tadi dipandang semula. Cuba menumpukan perhatian namun perbualan tiga pasangan di sebelahnya itu membuatkan Nursyazwani terus-menerus hilang fokus. Aduh! Macam manalah aku nak score subjek aku paling lemah ni sekali? Nursyazwani garu kepala akhirnya.
   “Syaz suka subjek Matematik ka?” tiba-tiba suara lelaki comel dan kacak tersebut menerpa halwa telinga Nursyazwani. Apa lagi laju saja kepala Nursyazwani dan Umairah berpaling ke arah lelaki itu semula. Macam tidak percaya pula soalan tersebut disuakan buat pertama kalinya pada Nursyazwani. Teragak-agak Nursyazwani mengangguk. Tambah kaku lagi gadis itu apabila Nursafwan melemparkan senyuman kecil dan manisnya kepadanya. Mahu pengsan dibuatnya.
   “Dalam kelas Lima Dahlia ni, Nursyazwani antara pelajar yang selalu dapat D. Sebab tu lah dia kena banyak belajar subjek ni.” Tiba-tiba Marsya pula yang menjawab bagi pihaknya. Kurang asam punya perempuan. Dia malukan aku depan Nursafwan pula tu. Tak pasal-pasal Nursafwan tahu aku ni lemah Matematik.
   Nursyazwani mengangguk lemah dan tidak ikhlas ke arah lelaki itu kini. Malunya hanya Tuhan yang tahu.
   “Alah, D saja kan. Sekurang-kurangnya Syaz selalu lulus. Kalau enda silap, kau selalu dapat G kan?” ambik kau! Umairah jawab bagi pihak Nursyazwani pula. Membulat mata Marsya mendengar. Dia mahu meningkah pun memang itu hakikatnya, jadi terpaksalah juga dia menelan pahitnya ayat Umairah tadi. Kelihatan Zafran dan Adli menahan senyum. Sementara Nursafwan tidak bereaksi apa-apa.
   “Adli terror subjek tu. Kalau Marsya dan Syaz mahu belajar, boleh tanya Adli nanti.” Lain pula jawapan Nursafwan berikan yang mereka berdua harapkan. Saranan itu membuatkan Adli tersentak sedikit. Aku pula yang kena. Mentang-mentanglah aku pelajar terbaik sekolah ni.
   “Betul tu. Si Adli ni tolak sukan jak dia enda terrror, yang lain semua makanannya.” Tambah Zafran. Mati kutu Adli mahu menjawab. Akhirnya dia tersengih-sengih macam kerang busuk.


BERSAMBUNG...

*menarik? jangan lupa komen. SATU pun jadilah! HEHEHE. 

*Klik ini juga jika ada kesempatan, my first manuskrip di Ilham Karangkraf---> JADI BODYGUARD SAYA, BOLEH? (AKU SUDI)