Sunday 31 July 2016

CEMBURU ITU CINTA- BAB 3

BAB 3




JAUH Nursyazwani termenung. Pandangannya tembus ke hadapan padang rumput yang terbentang hijau di matanya kini. Dari luaran nampak macam menikmati keindahan tersebut, hakikatnya otaknya sudah jauh melayang entah ke mana. Malah kerja sekolah yang sepatutnya dia buat sudah tergendala sejak beberapa minit yang lepas.
    Niatnya datang ke taman berhadapan dengan Pekan Baru Pitas tersebut untuk mengulang kaji dan buat nota Sejarah macam yang diminta oleh cikgu Joseph minggu lepas. Ajak Umairah datang sekali supaya tidaklah dia bosan sepanjang petang tersebut. Kalau dia buat di rumah, alamatnya boleh dia tertidur sepanjang hari cuti hujung minggu itu.
    Kalau ada Umairah dapat juga menghilangkan bosannya jika penat belajar nanti. Namun kelibat Umairah masih belum-belum muncul sejak dia duduk menanti di situ dari pukul dua petang. Sekarang sudah mahu dekat jam tiga. Mana pulalah dia ni.
    Tempat pertemuan mereka itu memang sengaja dia mahu di situ. Lagipun setiap petang, kelibat tiga orang jejaka kegilaan sekolahnya itu akan datang ke situ dan main bola sepak di padang yang menghadap sekolah. Lepas Asar, dalam jam empat begitu akan muncullah mereka nanti. Namun dia sengaja datang awal ke situ supaya dapat siapkan kerja rumah sebelum dia akan menumpuhkan perhatian seratus-peratus ke arah padang bola sepak itu nanti.
    “Assalamualaikum!” laung Umairah seraya mematikan enjin motornya. Sengihannya panjang sampai dia mendekati Nursyazwani. Namun Nursyazwani mencebik. Janji jam dua, datang jam tiga. Apa kes?
    “Dosa tau kalau enda sambut?” usik Umariah sebaik melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan Nursyazwani.
    “Walaikumsalam.” Geram saja bunyi Nursyazwani menyambut salam tersebut. Umairah terus ketawa-ketawa macam orang sewel.
    “Kau kenapa lambat?” terus soalan ditanya.
    “Aku ada kerja sikit di rumah tadi, bha. Sorrylah,” beritahu Umairah. Sengihannya masih panjang macam baru sampai tadi. Nursyazwani mencebik bibirnya lagi. Alasan! Yang peliknya, walaupun tahu itu cuma alasan Umairah, Nursyazwani tidak pernah mahu tanya lebih. Apa yang penting baginya, rakannya itu datang juga walau lambat.
    “Kau dah siap buat nota Sejarah?” Umairah ubah tajuk perbualan. Sengaja mahu mematikan sakit hati Nursyazwani padanya tadi. Nursyazwani angkat buku nota dan menunjukkan nota itu di hadapan Umairah. Berkerut dahi Umairah jadinya.
    “Baru pengenalan kau buat? Biar betul?” macam tidak percaya pula Umairah dengan nota yang dilihatnya itu. Nursyazwani meletakkan semula notanya ke meja. Dia jungkit bahu sekali.
    “Aku berangan tadi sebelum kau sampai. Sebab tu tak siap-siap.” Geleng kepala Umairah mendengar jawapan Nursyazwani. Boleh tahan serius juga kawan aku ni kalau hal berangan.
    “Kau berangan apa?” dilayan juga cerita Nursyazwani meski dis sudah mengeluarkan buku teks Sejarah dan nota panjangnya dari dalam beg sekolah. Disusun kemas-kemas atas meja sebelum memandang ke arah Nursyazwani kembali.
    “Kau rasa...” belum sempat Nursyazwani menghabiskan ayatnya, Umairah terus tepuk tangan sekali di hadapan gadis itu. Membulat mata Nursyazwani dibuatnya.
    “Kalau kau nak cerita pasal si Nursafwan kau tu, aku rasa aku tahu apa kau nak cakap.” Nursyazwani memicingkan pandangannya ke arah gadis tersebut.
    “Apa-apa pun, kalau kau tak putus asa, aku pasti suatu hari nanti si Nursafwan tu akan perasan kehadiran kau di sisinya selama ni. So, never give up!” Umairah memberi kata semangat, namun lain pula tindak balas Nursyazwani. Gadis itu terus tunduk ke bawah macam orang kematian semangat saja lagaknya. Berkerut dahi Umairah melihat.
    “Dari tingkatan satu aku suka dia. Masuk aktiviti mana yang dia ada, cuma satu saja aku enda boleh ikut.” Ayatnya mati di situ. Umairah sabar menanti ayat seterusnya.
    “Kadet Polis. Kau tau kan aku jenis yang macam mana?”
    “Gadis Melayu Terakhir!” serentak mereka menyebut gelaran yang begitu sinonim dengan Nursyazwani itu. Kemudian mereka ketawa sama-sama.
    “Alah, tak semestinya kau suka dia semua aktiviti dia kau mau ikut juga. Normallah persatuan lain-lain. Walau jauh tapi dekat di hati.” Pujuk Umairah, cuba menceriakan kembali hati kawan baiknya itu. Nursyazwani angguk-angguk setuju. Hanya Umairah yang memahami perasaannya itu selama ini. Pahit manisnya dia dalam menyintai Nursafwan dalam diam, semua dalam pengetahuan Umairah. Jadi, dia tidak pernah kekok barang sekali dalam meluahkan perasaannya terhadap Nursafwan di hadapan Umairah.
    “Anyway, cinta-cinta juga. Sekarang ni kita kena siapkan dulu nota Sejarah ni. Aku belum start lagi tau. Kau nda apalah, sudah ada pengenalan.” Nursyazwani pantas mencebik.
    “Perli nampak?” Umairah tertawa kecil.

    TIBA-TIBA Nursyazwani meletakkan pen ke atas meja. Perut terus disapu-sapu tanda dia sudah kelaparan duduk begitu lama di situ sejak tadi. Padahal baru dua jam lebih. Umairah dilihatnya begitu tekun sekali cuba menyiapkan nota Sejarah tersebut, sampai tidak perasan Nursyazwani sudah berhenti menulis.
    “Kau ada bawa makanan ka, Umai?” soal Nursyazwani. Lantas gerakan jari-jemari Umairah menulis terhenti. Dia memandang ke hadapan kemudian menggeleng kepalanya kecil.
    “Kau belikan aku makanan, boleh?” pinta Nursyazwani dengan muka kesian. Namun Umairah geleng kepala laju.
    “Enda mau!” dia menyambung semula tulisannya. Terus muncung mulut Nursyazwani saat ini.
    “Mana duit kau, aku jak beli!” geram Nursyazwani bersuara. Dia sudah berdiri sambil meminta duit dari Umairah. Rakannya itu kemudian mengeluarkan dua keping not satu ringgit dari dalam kocek seluar track-suitnya dan menyerahkannya pada Nursyazwani.
    “Mau apa?” soal Nursyazwani kemudian.
    “100 plus. Selebihnya kau belilah makanan apa-apa, yang penting boleh makan. Ok?” beritahu Umairah sambil tersengih-sengih. Nursyazwani mencebik bibirnya lagi sebelum berlalu.
Dia hanya berjalan kaki ke Pekan yang berada tidak jauh dari taman tempat mereka melepak itu. Dengan payung warna merah jambu, kelihatan dia sudah macam Siti Payung pula. Mujur cuaca petang itu kurang panas, jadi haba yang ada pun tidak terasa benar menyengat kulitnya.
    Tiba di kedai serbaneka yang menjual pelbagai jenis makanan ringan, Nursyazwani terus masuk ke dalam. Tidak lupa menyapa pada penjaga kedai yang sememangnya sudah cukup dikenalinya.
    “Aik, sorang jak? Selalunya berdua?” sua Kenny, gadis bangsa Dusun pemilik kedai itu bertanya ramah. Nursyazwani menggeleng seraya tersenyum kecil.
    “Dia jadi bos hari ni,” Nursyazwani sempat berseloroh. Ketawa kecil Kenny mendengar. Nursyazwani kemudian menuju ke arah peti sejuk yang meletakkan minuman bergas di dalamnya. Membuka pintu itu dan mengambil pesanan Umairah dan air yang dia mahu. Pintu itu di tutup semula dan dia menuju ke arah makanan ringan pula. Keropok Ma-Mi berharga sepuluh sen itu di ambilnya cukup-cukup untuk satu ringgit setengah. Kemudian dia menuju ke kaunter pembayaran. Setelah membayar semua beliannya itu, dia meminta diri.
    Baru saja dia mahu keluar dari kedai tersebut, tiba-tiba dia terlanggar seseorang. Plastik hitam yang berisi dengan makanan yang dibelinya tadi sampai terjatuh ke lantai. Kelibat yang dilanggarnya tadi menunduk dan mengutip plastiknya, lalu di serahkan pada Nursyazwani semula.
    Melihat kelibat yang sedang berdiri dihadapannya itu saat ini membuatkan Nursyazwani sudah macam patung Cendana lagaknya. Tidak mampu berkata-kata saat matanya tepat memandang mata Nursafwan. Nursafwan pula yang jadi bingung sendiri.
    “Ok ka?” soal lelaki itu. Buat pertama kalinya, pemilik suara tersebut bercakap terus dengannya. Teragak-agak Nursyazwani mengangguk. Lalu diambil plastiknya tadi dan terus berlalu tanpa terfikir mahu minta maaf langsung. Sesungguhnya Nursyazwani sudah malu sendiri. Merah padam mukanya kerana dapat berdiri secara berhadapan dengan Nursafwan hari ini tanpa Umairah di sisi. Mungkin kalau Umairah ada tadi, kurang juga sikit malunya.
    Nursafwan diam saja melihat kelibat gadis itu sudah menjauh. Dia geleng kepala sendiri. Boleh tahan pemalu juga dia ni rupanya. Senyuman kecil kini menghiasi wajah kacak tersebut.
    “Woi!” panggil Adli. Pantas kepala Nursafwan beralih pada kelibat Adli yang sudah berada dalam kedai serbaneka tersebut.
    “Kau pergi mana tadi? Tiba-tiba menghilang.” Rungut Adli kemudian. Nursafwan tersengih-sengih macam kerang busuk. Lalu dia masuk ke dalam kedai itu dan melihat-lihat mahu beli apa. Kemudian bahunya pula di tepuk Zafran yang berdiri di sisinya.
    “Kau, kalau senyum macam tu lagi dengan aku-aku sekali jatuh cinta tau.” Usik Zafran. Bulat serta-merta mata lelaki itu. Adli sudah ketawa terbahak-bahak. Sementara Kenny yang tidak sengaja mendengar perbualan mereka, geleng kepala. Budak-budak ni, dari dulu selalu buat aku senyum seorang diri macam orang gila.

BERSAMBUNG...

*menarik? jangan lupa komen. SATU pun jadilah! HEHEHE. 


*Klik ini juga jika ada kesempatan, my first manuskrip di Ilham Karangkraf---> JADI BODYGUARD SAYA, BOLEH? (AKU SUDI)

CEMBURU ITU CINTA - BAB 2

BAB 2



HARI kedua persekolahan minggu pertama berjalan seperti biasa. Cikgu Linda diberi tanggungjawab sebagai guru kelas tingkatan Lima Dahlia. Gadis bertudung litup tapi moden itu sentiasa jadi bualan cikgu-cikgu lelaki sekolah ini. Almaklumlah, manis orangnya.
    “Oleh sebab cikgu adalah guru kelas kamu semua, jadi kalau ada apa-apa masalah berkaitan pelajaran nanti jangan malu-malu jumpa cikgu. Insya-ALLAH kalau cikgu mampu, cikgu akan tolong.” Sua cikgu Linda sebaik sesi berkenalan dengan semua pelajar dalam kelas itu berakhir. Semua mengangguk-angguk faham walau tidak sekata.
    Satu-persatu wajah bakal-bakal menduduki SPM tahun ini dipandangnya. Mengikut laporan yang dia terima dari guru kelas tingkatan empat mereka tahun lepas, serba sedikit butiran diri mereka kini dalam pengetahuannya walau mungkin bukan keseluruhan keperibadian pelajar-pelajar yang sedang duduk penuh disiplin dihadapannya itu diketahuinya.
    “Baiklah, kalau tak ada apa-apa lagi cikgu keluar dulu.” Tambah cikgu itu lagi seraya berdiri.
    “Bangun~” Faiz, ketua kelas baru kelas itu yang baru saja di lantik hari ini menjalankan tugas seadanya. Semua pelajar dalam kelas itu berdiri malas.
    “Terima kasih, cikgu~” selepas ucapan itu keluar dari mulut Faiz, serentak yang lain mengulang kembali. Bergema sebentar kelas Lima Dahlia kemudian sunyi sepi sambil melihat langkah cikgu Linda keluar dari kelas tersebut.
Sebaik saja kelibat cikgu Linda sudah menghilang, semua melepaskan nafas berat masing-masing.
    “Aduh... Banyak-banyak lelaki dalam kelas ni, kenapalah si Faiz tu juga yang kena pilih.” Rungut Vanessa lantang. Serta-merta raut wajah ketua kelas itu berubah. Kareena mengangguk-angguk setuju, sementara Marsya hanya tersenyum sinis.
    “Woi! Perempuan!” meninggi suara Faiz ke arah Vanessa namun gadis itu hanya memandang macam tidak buat salah apa-apa langsung. Yang lain dalam kelas itu sudah memandang dengan perasaan tidak selesa. Apa kes lah pula ni. Tadi elok saja proses pemilihan itu berlangsung. Tak ada pula Vanessa nak membantah. Alih-alih sekarang dia pula yang tidak puas hati.
    “Kalau kau hebat sangat, kenapa bukan kau saja yang jadi ketua kelas?!” marah Faiz, Vanessa hanya mencebik. Kelihatan Hadi dan Jali sudah menambah bara ketua kelas tersebut. Nursyazwani merangkap penolong ketua kelas itu semakin risau melihat ketegangan kelas itu saat ini. Kalau di biarkan, boleh kena amaran nanti kalau ada guru-guru lain yang mendengar pergaduhan mulut tersebut. Lantas dia berdiri dari tempat duduknya. Umairah pula yang tersentak dengan tindakan rakannya itu tiba-tiba.
    “Cikgu Joseph dah datang!” jerit Nursyazwani membantutkan serta-merta keadaan tegang tadi. Faiz yang berdiri tadi cepat-cepat duduk semula. Marsya and the Gang kembali ke kedudukan asal mereka, begitu juga dengan Hadi dan Jali.
    Macam tadi, Faiz menjalankan tugasnya. Usai salam di beri, cikgu Joseph memandang satu-persatu pelajar kelas Lima Dahlia. Wajah serius cikgu Joseph membuatkan semua membatukan diri di tempat masing-masing. Cikgu Joseph kemudian memicingkan pandangannya ke arah Nursyazwani yang kelihatan takut-takut melihat ke arahnya sejak masuk tadi.
    “Kamu!” terkejut bukan kepalang lagi Nursyazwani apabila jari telunjuk cikgu lelaki itu tepat ke arahnya. Nursyazwani cuba bertanya hanya dengan meletakkan tapak tangan ke dadanya, siap telan liur lagi.
    “Yes! Kamu!” jerit cikgu Joseph lagi.
    “Siapa nama?!” amboi, cikgu ni pun satu. Nak tanya nama pelajar dia pun menjerit macamlah Nursyazwani itu jauh berbatu-batu darinya. Umairah menahan senyum lucu.
    “Nursyazwani Abdul Jabbar, cikgu.” Perlahan Nursyazwani menjawab. Mengangguk sekali cikgu Joseph sesudah mendapat tahu nama pelajar tersebut. Dengan gerak perlahan Nursyazwani cuba duduk semula.
    “Sebelah kamu siapa nama?!” Nursyazwani berdiri tegak semula. Terkejut bukan kepalang. Umairah menarik tangan Nursyazwani untuk duduk saja sementara dia sudah berdiri mahu menjawab soalan dari cikgu Sejarah tersebut. Situasi sesi berkenalan dengan cikgu Joseph berlangsung dengan nada cikgu itu macam marah saja bunyinya dengan bertanya setiap satu nama pelajar dalam kelas Lima Dahlia.
    Kemudian barulah cikgu Joseph mengambil tempat duduknya. Muka surat bab pertama buku teks Sejarah diselaknya. Sekali imbas bab itu, dia kembali menghadap semua pelajarnya.
    “Siapa ada masalah dengan subjek Sejarah dalam kelas ni?” sua cikgu Joseph tiba-tiba. Ada yang berpandangan antara satu-sama lain dengan soalan yang baru muncul itu. Perlahan-lahan beberapa pelajar dalam kelas itu mengangkat tangan kanan mereka termasuk Nursyazwani sekali. Apabila melihat Umairah tidak angkat tangan sekali, dipukul bahu rakannya itu supaya angkat tangan juga.
    “Aku selalu dapat C dalam Sejarah tau,” tekan Umairah dengan nada berbisik. Nursyazwani mencebik bibirnya. Dapat C saja pun dah mengaku pandai pula dia. Aku yang selalu dapat B ni pun angkat tangan juga.
Cikgu Joseph mengerutkan dahinya melihat lebih dari separuh kelas itu juga yang lemah dengan subjek yang bakal diajarnya nanti. Dia menggeleng kepala kemudian.
    “Fine. Nanti cikgu fikirkan cara macam mana nak buat kamu semua boleh dapat A dalam subjek ni nanti.” Beritahu cikgu Joseph membuatkan pelajar yang angkat tangan tadi sudah perlahan-lahan menurunkan tangan mereka. Kerutan di dahi Nursyazwani menunjukkan dia rasa pelik dengan sikap cikgu itu. Boleh percaya ke cikgu ni, macam pelik saja.
    “Anyway, sila buka buku teks masing-masing. Baca bab 1 dan buat nota ringkas.” Sekali lagi pelajar kelas Lima Dahlia itu berpandangan.

*****

    “MACAM pelik saja cikgu Joseph tu aku tengok. Bolehkah dia buat kita dapat A subjek tu nanti?” Omel Umairah sambil menajamkan pandangannya ke hadapan. Nursyazwani pula hanya angguk-angguk kecil.
“Dahlah tanya nama kita satu-satu menjerit-jerit macam gangster bagai. Risau pula aku tengok cikgu tu. Macam ada problem jak.” Tambah Umairah lagi. Masih belum puas lagi komen pasal sikap cikgu Joseph tadi. Dia pula yang naik risau dengan cikgu itu. Dahlah tahun ni kena hadap SPM, cikgu yang bertanggungjawab untuk bimbing mereka dapat A dalam Sejarah itu pula perangai entah apa-apa.
Sedang dia leka dengan fikirannya sendiri, bahunya dipukul kuat tiba-tiba oleh Nursyazwani. Terkejut bukan kepalang Umairah dibuatnya. Dahinya segera berkerut memandang wajah Nursyazwani kini. Muncung mulut rakannya itu ke sebelahnya membuatkan Umairah berpaling ke arah tersebut. Patutlah, nampak buah hati rupanya.
    Tiga orang jejaka kegilaan sekolah itu kini memasuki kantin tersebut. Namun sudah ada mata yang mahu terjojol keluar dari tempat asalnya. Malah pandangan mata mereka terus mengekori setiap gerak-geri tiga orang jejaka tersebut hingga ke kaunter makanan.
    Bukan main hot lagi sampai ada juga yang mengekori mereka hingga ke situ. Geleng kepala Umairah jadinya. Dia berpaling semula ke arah Nursyazwani. Rakannya itu dua kali lima sama saja dengan pelajar perempuan yang berada di situ. Tiap kali ternampak Nursafwan di hadapan mata, terus jadi macam orang angau. Pelik-pelik.
    Tapi nak buat macam mana jugakan, dahpun namanya minat, suka plus cintanya dari tingkatan satu lagi, sudah semestinya Nursyazwani akan bersikap begitu. Padahal tidak pernah pun dia lihat si Nursafwan itu bermain mata dengan rakannya itu.
    Kenangan paling manispun setakat tempoh dari tingkatan satu sampailah hari ini adalah mereka satu rumah sukan. Itupun sebab Nursyazwani yang merayu-rayu pada cikgu-cikgu rumah sukan di mana jejaka idamannya itu berada agar menerimanya di situ. Kalau tidak, tidaknya mereka selalu ‘berjodoh’ begitu. Belum tambah kelab dan persatuan lagi. Di mana ada Nursafwan, di situ Nursyazwani menyibuk. Erm... Adakah pelajar perempuan lain sehebat cinta Nursyazwani terhadap Nursafwan begitu? Rasanya tak ada kot.
    “Tepi-tepi!” satu suara muncul membuatkan khayalan kisah cinta Nursyazwani terus berhamburan. Kini di hadapan matanya, Marsya and the Gang sudah ambil posisi. Marsya terus berdiri di samping jejaka idaman Nursyazwani. Lantas Umairah menjeling sekilas ke arah rakannya itu. Sudah berubah air muka Nursyazwani saat ini. Melihat kemesraan antara Marsya dan Nursafwan jelas di pandangan matanya. Lalu satu keluhan berat terhembus dari mulutnya. Umairah sudah agak akan begitulah keadaan Nursyazwani setiap kali gadis perasan paling hot itu mendampingi Nursafwan. Kesiannya kawan aku sorang ni. Dan... Kesimpulannya, ada dua orang pelajar perempuan dalam sekolah ini begitu setia dalam merebut cinta Nursafwan meski pendekatan mereka berbeza. Seorang agresif dan seorang pula pasif.
    “Kau rasa aku ada peluang ka, Umai?” satu soalan dari gadis di sebelahnya itu membuatkan Umairah terkedu lidah serta-merta. Entah, dia sendiri tiada jawapannya. Sekali lagi pasangan hot di hadapan mata mereka itu menjadi perhatian mereka berdua.

BERSAMBUNG...

*menarik? jangan lupa komen. SATU pun jadilah! HEHEHE. 


*Klik ini juga jika ada kesempatan, my first manuskrip di Ilham Karangkraf---> JADI BODYGUARD SAYA, BOLEH?

CEMBURU ITU CINTA! - BAB 1

BAB 1



TAHUN 2006


HARI pertama persekolahan selepas hampir sebulan lebih pelajar-pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Pitas bercuti atau juga disebut sebagai honeymoon membuatkan ada yang kelihatan seperti masih di awang-awangan tidak sedar diri dari mimpi yang indah. Ada juga yang kelihatan terover excited berjumpa dengan kawan-kawan sekelas yang sekepala dan tidak kurang juga yang kelihatan seperti, tidak kisah.
    Masing-masing dengan karekter tersendiri membawa diri ke kelas yang bukan lagi di kelas yang sama seperti tahun lepas. Yang tingkatan satu naik ke tingkatan dua, yang dua ke tiga dan seterusnya. Namun hal yang paling menggembirakan segelintir pelajar tahun ini adalah pelajar-pelajar yang berada di tingkatan empat.
    Maklumlah, tahun lepas mereka berperah otak dan tenaga menghadapi Peperiksaan Menengah Rendah atau singkatannya PMR, tahun ini mereka boleh relaks sedikit. Boleh honeymoon kata mereka. Kalau belajar pun tidak sekeras tahun lepas dan kalau ingin aktif dalam kokurikulum pun sudah tidak perlu risau belajar untuk sementara waktu.
    Iya, itu bagi pelajar tingkatan tiga tahun lepas. Bagaimana pula pelajar tingkatan empat tahun lepas? Kalau tahun lepas mereka honeymoon, tahun ini tahun Clash of Clan buat mereka! Mahu tidak mahu, kena struggles juga untuk mencapai keputusan yang terbaik untuk bekalan masa depan mereka masing-masing.
    Nursyazwani melangkah masuk ke kelas tingkatan Lima Dahlia di mana kelas itu akan menjadi kelasnya untuk sepanjang tahun ini. Dia mencari tempat duduk kosong paling belakang sekali. Tidak selesa duduk di tengah atau di hadapan. Lagipula dia bukan spesis yang kuat belajar. Cukup-cukup makan saja. Jadi dia tidak kisah pada beberapa orang pelajar yang masih lagi berdebat tempat duduk yang paling depan sekali ketika dia melangkah masuk ke kelas itu tadi.
    Tempat duduk pun jadi hal, ni baru hari pertama persekolahan. Semua sudah tunjuk muka stress budak bakal ambil Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini. Nursyazwani geleng kepala kecil. Dia duduk di kerusi selepas meletakkan beg sekolahnya di belakang kerusi. Terus memerhati suasana kelas tersebut sambil menanti penuh sabar kehadiran seseorang yang tidak pernah berenggang dengannya sejak di tingkatan satu lagi. Rakan baiknya yang tidak pernah jemu-jemu melayan tingkahnya selama ini.
    Umairah yang ada urusan sekejap di bilik guru bakal guru kelas mereka tadi kini berhenti secara mengejut sebaik melangkah masuk ke kelas Lima Dahlia itu. Dahinya berkerut melihat adegan rebut-rebut tempat duduk yang sedang berlangsung ketika ini. Siapa lagi kalau bukan gadis hot SMK Pitas, Marsya dan dua orang temannya ke hulur ke hilir sepanjang masa, Vanessa dan Kareena. Tiga orang gadis pingitan yang perasan paling hot dalam sekolah ini.
    Sementara lawan mereka pula dua orang jejaka paling bijak mengatur ayat pedas buat mangsa-mangsa buli mereka, Jali dan Hadi. Umairah mencebik bibir lalu terus memanjangkan langkahnya ke arah Nursyazwani yang duduk di meja tengah paling belakang. Satu meja kosong di sebelah gadis itu sudah tersedia khas buatnya. Tersenyum lebar dia sebaik berlaga pandang dengan gadis itu.
    “Wassap yo!” tapak tangan kanan mereka berlaga sebelum Umairah duduk di sebelahnya.
    “Kau tengok tu, Syaz. Dari dulu lima orang manusia dalam kelas ni selalu macam ni. Bergaduh tempat duduk enda habis-habis. Pening aku tengok.” Umairah membuka tajuk perbualan pertama mereka untuk hari pertama persekolahan itu. Nursyazwani tersenyum kecil. Betul cakap Umairah, memang lima orang manusia yang sedang ligat berdebat di hadapan kelas tersebut tidak pernah aman-aman dari dulu. Hal kecil pun mahu diperbesar-besarkan. Yang aku pelik, si Marsya, Kareena dan Vanessa ni pun tak reti-reti bahasa dari dulu. Dah Jali dan Hadi yang duduk dulu di tempat tu, faham-faham sajalah. Ini tidak, masih juga hendak pertikaikan tempat itu. Lantaklah siapa yang menang nanti.
    “Kau buat apa pergi bilik guru tadi?” Nursyazwani tukar tajuk. Umairah pantas memandang ke arah rakannya itu dengan kedua-dua keningnya terangkat, kemudian dia geleng kepala siap buat muka comel.
    “Bukan aku yang pergi bilik guru tu, cikgu Linda yang mintak aku pergi situ.” Beritahu Umairah. Namun kedutan di dahi Nursyazwani pantas terbentuk.
    “Bukan sama juga ka maksud dia tu? Kau pergi bilik guru, bukan cikgu Linda pergi jumpa kau di bilik guru?” sekali lagi kening Umairah terangkat dan bebola matanya turut berpusing 90 darjah sambil berfikir. Dia sendiri sudah bingung dengan ayatnya tadi kemudian menampar udara di hadapan Nursyazwani tanda dia malas mahu ulas. Nursyazwani tertawa kecil melihat ulah rakannya itu.
    “So... Masih dengan cinta yang lama?” tajuk baru lagi yang muncul. Kali ini giliran Umairah pula yang bertanya. Kening Nursyazwani pantas terangkat tinggi, setinggi langit nan luas! Sengihan Umairah membuatkan dia terus berminat mahu meneruskan tajuk perbualan tersebut.
    “Kau ada nampak dia?” nada Nursyazwani sudah merendah, macam berbisik. Tidak mahu ada yang pasang telinga. Umairah gelak tanpa suara macam orang gila pula. Namun reaksi Nursyazwani pula tetap macam tadi, berminat tahap dewa!
    “Aku enda rasa dia datang hari ni. Maklumlah, hari pertama persekolahan mana ada belajar sangat. Aku pun tadi, kalau ikutkan hati memang enda mau datang. Tapi kau ni yang enda habis-habis telefon aku dari semalam sampailah subuh tadi suruh aku datang kelas juga hari ni!” geram betul Umairah apabila teringatkan hal itu. Apa tidaknya, Nursyazwani terus-terusan menghubunginya untuk mengingatkan dia kena datang juga hari ini. Alasannya, dia rindu.
    Rindu amendanya, kalau sepanjang cuti sebulan lebih itu mereka kerja part-time di More Change, Kota Marudu sama-sama. Hari-hari jumpa, rindu konon. Padahal rindu orang lain. Macam aku tak tahu, kan~
    Tersengih-sengih macam kerang busuk Nursyazwani kini. Dia tahu Umairah tidak akan kata tidak kalau dia terus memujuk. Lagipun, kalau dia saja yang datang hari ni maknanya dia bakal berseorangan nanti. Aku tak boleh hidup sendirian wey... Jadi terpaksalah juga dia pasang umpan dengan mengatakan, jika Umairah tidak datang dia tidak akan duduk semeja dengan gadis itu nanti sepanjang tahun ini. Nasib baik ugutannya berhasil. Datang juga gadis itu hari ini. Cuma berita yang Umairah cakap ‘dia’ tidak datang tadi, kini membunuh perlahan-lahan semangatnya hari ini datang sekolah. Kalaulah aku tahu dia tak datang, aku pun malas nak datang kelas hari ni. Perlahan-lahan ada awan mendung yang sudah beraja di wajah gadis itu kini.
    “Attention!” satu suara muncul tiba-tiba di kelas itu membuatkan semua pelajar dalam kelas tersebut beralih pandang ke muka pintu kelas. Marsya and the Gang dan juga dua jejaka celupar mulut kelas itu serta-merta berhenti berdebat. Mata masing-masing tertumpu pada wajah yang baru muncul itu. Senyuman segera terbentuk di wajah manis Marsya dan juga Nursyazwani. Jejaka idaman masing-masing kini di hadapan mata walau wajah itu pasang wajah serius macam nak pergi berperang saja.
    Apabila semua mata sudah menumpukan perhatian padanya, barulah dia menyerahkan tugas pengumuman pada rakan yang berdiri agak kebelakang tadi darinya.
    “Pengetua nak semua pelajar pergi dewan makan asrama selepas waktu rehat nanti. Jelas?” beritahu Adli juga seserius wajah jejaka idaman Nursyazwani dan Marsya tadi. Semua mengangguk kecil kepala masing-masing. Langsung tiada suara yang meningkah sehinggalah kelibat tiga orang jejaka tadi beredar ke kelas sebelah pula untuk menyampaikan hal yang sama.
    Sesudah kelibat itu menghilang dari pandangan mata, gadis-gadis yang ada dalam kelas tersebut ada yang sudah menutup mulut tidak percaya dengan apa yang baru mereka lihat tadi. Begitu juga dengan Nursyazwani kini. Lagaknya macam nampak sesuatu yang begitu berharga sekali.
    “Nursafwan tu!” rata-rata gadis dalam kelas itu sudah macam tidak keruan melihat wajah kacak yang muncul sebentar tadi. Sampai pegang pipi masing-masing. Excited yang melampau!
    “Zafran dan Adli pun ada kot...” seorang pelajar perempuan lagi yang kedengaran begitu teruja. Tiga orang nama jejaka yang sentiasa menjadi rebutan dan sebutan di sekolah itu. Masing-masing ada menyumbangkan sesuatu yang berharga buat sekolah ini sejak mereka berada di tingkatan tiga lagi.
    Nursafwan merupakan presiden Kadet Polis sekolah. Sudah tiga kali berturut-turut jadi wakil Komando Kadet Polis peringkat kebangsaan dan dapat anugerah Komando terbaik. Namun tidaklah terlalu hebat dalam pelajaran sangat. Orang kata so~so sahaja. Mungkin kekacakannya itu yang membuatkan ramai pelajar perempuan tergila-gilakannya.
    Zafran pula ketua pasukan debat wakil sekolah ini sampai peringkat kebangsaan. Juga jarang kalah berdebat jika ada yang cuba-cuba berlawan debat dengannya dalam sekolah ini. Erm... orangnya juga tidak kurang manisnya. So manly~
    Seterusnya Adli. Lelaki ini kalau dari segi wakil-wakil sekolah, tak adalah sangat. Paling tinggi pun dia jadi wakil peringkat sekolah. Lepas tu tarik diri kalau ditawarkan ke peringkat daerah. Alasannya mudah saja, dia mahu menumpukan perhatian pada pelajaran bukan kokurikulum semata-mata. Tidak hairanlah selalu dapat pelajar terbaik dalam sekolah ni.
    Jadi kalau dibandingkan ketiga mereka dalam pelajaran, Adli yang pertama, kedua Zafran dan ketiga... Mungkin Nursafwan meski dia tidak pernah naik pentas untuk menerima anugerah mendapat markah tertinggi dalam mana-mana mata pelajaran.
    Itu serba sedikit pengenalan ringkas buat jejaka-jejaka rebutan dan sebutan di sekolah itu. Selebihnya biarlah jadi rahsia mereka sendiri.
    Tiba-tiba bahu Umairah dipukul Nursyazwani. “Apa kau kata tadi?” Nursyazwani menekan suaranya. Namun Umairah tetap tersengih tidak kisah. Senang hati kerana dapat mengenakan rakannya itu.
    “Hello~ Nursafwan tu, mine. Jangan nak mengedik sangat!” tiba-tiba Marsya bersuara. Mungkin sakit hati melihat rata-rata pelajar perempuan dalam kelas itu memuji-muji buah hati pengarang jantungnya itu.
    Nursyazwani dan Umairah pantas memandang ke arah Marsya. Ketiga-tiga gadis tadi sudah bawa kaki mahu keluar dari kelas tersebut. Marsya jalan depan sekali siap peluk tubuh. Lagak perasan hotnya yang tidak habis-habis.
    Soal tempat duduk tengah depan sekali itu pula sudah di abaikan. Mungkin sudah putus asa mahu berdebat dengan Jali dan Hadi mengenai hal itu lagi. Lantaklah mereka nak duduk mana nanti.
    “Perasan jak lah si Marsya tu. Dia ingat si Nur tu suka dia ka?” mencebik bibir Umairah sesudah menghabiskan ayatnya tadi. Nursyazwani sekadar mengangguk-angguk setuju. Betul tu, habis kalau si Nursafwan tu milik dia aku pula nak miliki siapa? Ceh!
    “Kau jangan risau, Syaz. Selagi aku hidup aku akan pastikan yang kau akan dapat miliki si Nur tu nanti.” Tekad Umairah siap pasang wajah penuh semangat. Nursyazwani pula mengangguk-angguk lagi. Kemudian dia menjeling sekilas ke arah reaksi penuh semangat Umairah. Sampai berkerut-kerut dahi Umairah menyatakan janjinya tadi.
    “Er... Apa rancangannya kau?” sua Nursyazwani mahu tahu. Pantas Umairah beralih pandang ke sebelah. Wajah mahu tahu Nursyazwani dipandangannya tanpa berkelip.
    “Kau ada idea?” dia yang nekad tadi mahu tolong, boleh pula dia tanya Nursyazwani idea apa. Membuatkan Nursyazwani memukul dahinya sendiri.

BERSAMBUNG...

*sedikit penerangan, sekolah yg ada dalam cerita ni merupakan sekolah jauh di daerah pedalaman Pitas,Sabah. Manakala tempat kerja part-time Nursyazwani dan Umairah merupakan kedai runcit paling besar dan menawarkan harga yg paling rendah.

*menarik? jangan lupa komen. SATU pun jadilah! HEHEHE. 

*Klik ini juga jika ada kesempatan, my first manuskrip di Ilham Karangkraf---> JADI BODYGUARD SAYA, BOLEH?

Thursday 21 July 2016

Kita Start Hidup Baru!

Assalamualaikum,


Alhamdulillah untuk hari yang ceria. Oleh  sebab blog lama dah lama terbiar kaku jadi Alya terus deleted blog tu dan start yang baru.

Insya-Allah di blog yang baru ini Alya akan updated hasil karya/manuskrip sendiri sahaja dan berkemungkinan post benda lain juga. Barulah reader tak bosan kan?

Ok, sini Alya selitkan manuskrip yang dah published di Ilham, boleh jenguk kalau free.
JADI BODYGUARD SAYA, BOLEH? (AKU SUDI)

Sebelum terlewat, Alya ingin ucapkan Selamat Hari Raya!

Akhir kata, selamat berkenalan dari Alya!


KEEP DREAMING! ^^V